Sayu hati melihat Kak Yang kurus kering dan tidak bermaya. Namun mungkin juga kehadiran kami sekeluarga yang last minute plan agak mengejutkan Kak Yang dan mungkin juga menggembirakannya.
Walau sangat sibuk menguruskan kedai bahan kek yang baru sebulan ku ambil alih pengurusannya; aku cuba selitkan sedikit masa untuk melawat Kak Yang yg sedang sakit.
Dari penerangan Doktor yang merawat, jantung Kak Yang sudah lemah. Dan semuanya berpunca dari diabetes yang dialaminya. Itu juga yang membuatkan badan nya jadi bengkak.
Sedari kecil Kak Yang memang terkenal sebagai seorang yang sangat strict dikalangan adik-adik juga sepupu-sepupu yang lebih muda. Mungkin kerjayanya sebagai cikgu menyebabkan attitude garangnya terserlah, dalam hal-hal yang berkaitan pembelajaran, solat dan kebersihan. Masih ku ingat lagi Yop Li, sepupu ku (anak sulung kepada Ayah Ngah) pernah di kejar keliling rumah kami di kampung oleh Kak Yang dengan rotan sebab degil bila di suruh solat. Aku pula pernah di piat-piat telinga sebab lembab sangat nak mengenal jarum jam menunjukkan jam berapa.
Kenangan dengan Kak Yang terlalu banyak bagiku. Ini kerana sedari aku kecil hingga lah masuk kesekolah menengah; Kak Yang lah satu-satu nya kakak ku yang memang tinggal bersama Apak dan Encik. Selain dari kami berdua; Yop, Nyah dan Kak Tun mempunyai keluarga sendiri dan tinggal berasingan. Pada kebanyakan waktu Eteh dan Etak tinggal bersama Nyah, hingga lah mereka berdua juga berumahtangga dan tinggal di rumah masing-masing.
Mungkin memang tiada jodoh untuk Kak Yang didunia ini. Dari cerita2 orang dewasa yang kucuri-curi dengar semasa kecil; Kak Yang memang mempunyai seorang ‘steady boyfriend’. Entah apa masalah yang timbul, lelaki tersebut berkahwin dengan orang lain, seorang nurse. Sejak dari itu, Kak Yang seakan tidak berpeluang lagi berjumpa dengan lelaki yang boleh dijadikan suami dan mungkin juga serik dengan perhubungan yang putus ditengah jalan. Ada juga beberapa kali saudara-mara me ‘recommend’ kan, namun ada saja masalah yang timbul dan akhirnya hajat tak kesampaian.
Memandangkan jarak usia yang agak jauh, Kak Yang seperti seorang ibu bagiku, sementelah Encik jarang melayan aku dengan kerja-kerja sekolah dan membawa berjalan dek kerana sebok menguruskan kerja-kerja rumah dan memasak. Pada setiap hari lahirku, Kak Yang pasti akan membelikan hadiah buatku.
Semasa aku darjah tiga; apak dan encik pergi menunaikan rukun Islam ke 5. Kak Yang lah yang ada di rumah menemani dan menguruskan hal-hal ku seharian sepeninggalan mereka ke tanah suci.
Pada setiap kali cuti sekolah, Kak Yang pasti membawa ku berjalan-jalan ke Ipoh menaiki bas Ipoh-Lumut yang kami tunggu bersama di hadapan rumah. Ini kerana rumah di kampung terletak di jalan besar antara Ipoh dan Lumut. Perjalanan selalunya mengambil masa selama 45 minit.
Kali pertama pergi ke Mc Donald semasa aku sebelum naik ke sekolah menengah, juga dengan Kak Yang. Segala keperluan sekolah, selain apak yang selalunya keluar duit untuk ku, Kak Yang banyak juga menyumbang.
Semasa aku bersekolah menengah dan tinggal di asrama, Kak Yang menyambung pengajiannya di UKM. Setelah habis pembelajarannya, dia menyambung berkhidmat di sekolah yang sama sebelum dia sambung belajar, berdekatan rumah kampung kami. Sementara aku, setelah habis sekolah dan matrikulasi; dapat pula menyambung pelajaran di USM cawangan Tronoh yang sangat berhampiran dengan rumah kampung.
Setelah tamat matrikulasi, sebelum memasuki tahun 1; aku berjaya lulus ujian memandu. Pada ketika itu; Apak mempunyai kereta Toyota Wagon yang digunakan jika dia hendak kemana-mana; yang dipandukan oleh Pakcik Anan yang tinggal tak jauh dari rumah kami. Ini kerana Apak tak boleh memandu kerana dia hanya memakai kaki palsu setelah kakinya di operate akibat diabetes. Kereta itu juga lah yang ku lanyak setelah mendapat lesen.
Pernah sekali, aku berlegar-legar memandu kereta di halaman rumah, kerana over exited baru dapat lesen jadi aku terus memandu ke jalan besar sejauh beberapa km dari rumah. Pabila aku telah berpusing balik dan sampai ke rumah semula; ku lihat Kak Yang telah kelam kabut memanggil Kak Tun dan Abang Harun yang pada ketika itu duduk menyewa di rumah opah bersebelahan dengan rumah kami. Sebaik aku sampai Kak Yang terus bising pada ku dek kerana risaukan keselamatanku kerana kereta dan aku tiba-tiba lenyap dari pandangannya.
Semasa aku di tahun tiga, aku perlu menjalani Latihan Praktikal di syarikat swasta di Kuala Lumpur. Masih jelas diingatan, Kak Yang pernah menunggu ku di hadapan rumah, bila bas yang ku naiki sampai di kampung lewat tengah malam. Dan semasa aku masih dalam Latihan Praktikal, Kak Yang juga pernah datang ke rumah sewa ku di Taman Tun, K.L. Ingat lagi masa itu, alaun Latihan Praktikal yang ku perolehi masih berbaki, ku beli mini compo dan tv 14”. Kak Yang lah yang menolong ku mengangkut barang-barang tersebut naik turun bas untuk balik ke rumah sewa ku.
Cerita Kak Yang dan aku membawa ular menaiki kereta dari kampung ke rumah yang Kak Yang beli di Simpang Pulai, sering dipenglipurlarakan oleh ku kepada teman-teman rapat. Kak Yang memang selalu membeli barang dapur seperti pinggan mangkuk, periuk dan sebagainya. Oleh kerana dia tinggal bersama Encik jadi kebanyakan barang tersebut tak perlu digunakan sebab banyak lagi pinggan mangkuk yang sedia ada kepunyaan Encik yang boleh diguna. Jadi sebahagian dari pinggan mangkut itu diletakkan di bawah katil dalam bilik di tingkat bawah rumah kampung. Rumah kampung ku itu memang selalu dimasuki ular; sementelah lokasi hutan/kebun yang bersebelah sahaja dengan rumah. Bila rumah yang Kak Yang beli di Simpang Pulai telah siap, Kak Yang mengangkut sedikit demi sedikit barang2nya ke sana. Kerana Encik pun tidak akan tinggal lagi dirumah kampung memandangkan keadaan kesihatannya yang semakin menurun dan Nyah akan menjaga Encik dirumahnya sendiri. Suatu hari aku menolong Kak Yang mengangkut kotak2 pinggan mangkuk nya kedalam kereta. Setelah penuh kereta, kami pun bertolak ke Ipoh. Sampai sahaja di sana, kami pun memunggah barang2 semua tadi. Setelah berehat seketika, aku pun menolong Kak Yang mengeluarkan pinggan dari kotak yang dibawa untuk disusun ke dalam kabinet. Lepas satu, satu pinggan ku keluarkan. Sedar-sedar sahaja tinggal pinggan terakhir, kulihat seekor ular sedang elok melingkar didalam pinggan tersebut!!! Apa lagi! Terus aku melompat dan tutup semula kotak tu! Oleh kerana sangat geli dan takut dipatuk ular; Kak Yang dan aku ambil kayu penyapu dan tolak kotak itu perlahan2 kearah depan dan terus keluar pagar rumah. Dah la jiran2 semua tak kenal, nak mintak tolong kat sesiapa pun tak boleh. Kalau dibiar kan sahaja di situ, takut2 ular itu akan keluar dan merayap masuk pula ke rumah sesiapa. Fikir-fikir dengan Kak Yang, aku mendapat idea...masak air panas... dan.....CURAHKAN kedalam kotak dengan ular tu. Apalagi mengeletek la ular tu mati kena rebus!!! Uweksss...sungguh menggelikan....Sudahnya buang saja la pinggan sebiji bersama2 ular. Aku kira mesti ular tu tengah bersalin kulit, kerana itu lah ia tidak keluar dan serang kami. Alhamdulillah.....
Setelah berkahwin dan mempunyai anak, dan semasa aku berpantang Kak Yang akan datang seketika menemankan ku dirumah. Pernah aku terfikir, bila Kak Yang sudah pencen; aku mahu mengajaknya tinggal bersama ku sementelah anak-anak ku juga betah dengan Kak Yang. Setiap kali balik ke Ipoh, anak-anakku mesti mengajak kami tidur di rumah Kak Yang walaupun kadang-kadang rumah Nyah juga ada space yang available untuk kami anak beranak. Namun rasanya hajatku tak akan kesampaian memandangkan keadaan Kak Yang yang sakit dan tidak mampu untuk bergerak banyak. Tambahan pula semenjak aku mempunyai kedai, masa ku agak terbatas. Jika aku bawa dia tinggal bersama, aku pula tiada masa untuk memenuhi permintaannya dan keperluannya. Lebih elok dia tinggal besama Nyah yang memang biasa menjaga orang sakit. Ada ketikanya rasa kesal pula dengan keputusan ku membeli kedai
http://kejusedap.wordpress.com/2010/01/29/from-blog-to-shop/ini. Namun untuk ku perpatah semula tidak mungkin kerana aku terikat dengan pinjaman bank untuk membayar harga bisnes yang ku beli.
Kadangkala juga aku terasa bagai kan tak percaya bagaimana Kak Yang boleh ditimpa kesakitan, disebabkan dia seorang yang aktif kesana kemari, menguruskan hal murid-2 nya juga hal2 keluarga. Selain dari itu Kak Yang seorang yang kuat berjalan tambahan jika diajak pergi shopping. Namun semua itu ketentuan Ilahi. Hanya Dia yang tahu apa yang di takdirkan untuk hamba Nya.
Banyak juga aktiviti keluarga ku yang Kak Yang melibatkan diri. Itu yang membuat ku sangat sedih bila Kak Yang tidak mampu lagi hendak kemana2.
http://lailatulalias.blogspot.com/2008/11/kek-birthday-kak-yang.htmlhttp://lailatulalias.blogspot.com/2009/06/bercuti-ke-pd.htmlDi hari pertama Ramadhan 1431H ini, aku terkenang kan banyak lagi kenangan manis ku bersama Kak Yang. Semoga kedatangan Ramadan Al-Mubarak membawa sejuta kebaikan kepada Kak Yang untuk kehidupannya di dunia dan akhirat.
Ya Allah, tolong lah Ya Allah....Kau kurniakan lah segala keberkatan Mu Ya Allah buat Kak Yang, semoga dia mendapat semula kesihatannya yang dulu agar dia dapat menyempurnakan ibadat nya untuk Mu Ya Allah. Lindungi Kak Yang Ya Allah dari segala perkara yang mungkin membuatkan dia lupa kepada Mu Ya Allah. Amin Ya Rabbil 'alamin.....