Sunday, October 11, 2009

Encik..pemergian mu di redhoi....

Pukul 10.43 pagi 9 October 2009 bersamaan 20 Syawal 1430H; handphone ku berbunyi. Tertera nama Kak Yang yg memanggil di talian. Dalam kesibukan dengan assignment di office, hati ku agak berdebar menerima panggilan dari Kak Yang. Di hujung talian terdengar suaranya yang bergetar dengan kesedihan..."amai...encik dah takde..." degupan jantungku seakan berhenti seketika. Kata2 yang paling tidak ingin kudengari telah menjadi kenyataan. Tangan ku mula kesejukan dan menggeletar, namun ku cuba bawa bertenang, duduk di kerusi office dan cuba berfikir apa yg harus dilakukan seterusnya. Dalam getar suaranya, Kak Yang juga berpesan kepadaku utk menalifon Kak Tun. Ku cuba mencari no Kak Tun dlm contact list dan terus menekan nombor nya, tapi tidak berjawab. Fikiran agak bercelaru. Terus terfikirkan Mr. Huby dan terus menekan nombornya. Orang seterusnya yg perlu kuhubungi ialah Ani, pembantu rumahku; minta dia siapkan baju budak2 dan packing semua makanan yg sempat disediakan untuk makan tengahari hari itu.

Bila fikiran ku hampir tenang, baru dapat ku bercakap dgn office mate; Chau tentang berita kematian ibuku. Chau dan beberapa yg lain agak terkejut dan menyuruh ku balik segera dan tinggal kan saja kerja2 office. Sempat menerangkan serba sedikit kerja2 yang masih berbaki supaya Chau dapat menyambung kerja ku, terus ku capai beg dan berlalu meninggalkan office.

Beberapa org officemate yang berselisihan dgn ku semasa turun masih sempat menyapa dan menyuruhku tenangkan diri dan supaya memandu kereta dengan berhati2.

Dalam perjalanan balik dari office kerumah beberapa panggilan dan sms kuterima ada yg bertanya dan memberitahu tentang berita sedih ini, kalau2 masih belum sampai ke telinga ku.

Mak Nyah isteri arwah Ayah Ngah di P.J. juga salah seorang yg menalifon, bertanya jika aku sudah dalam perjalanan pulang ke Ipoh. Kebetulan aku hampir sampai ke lebuhraya LDP sempat lagi melencong ke arah federal h/way utk menjemput mak nyah utk pulang ke Ipoh bersama kerana anak2 nya semua telah keluar bekerja dan tak pasti pukul berapa boleh bertolak ke Ipoh.

Sampai sahaja dirumah Mr. Huby dan bibik ku telah bersedia untuk memulakan perjalanan menemui Encik buat kali terakhir.

Perjalanan ke Ipoh yg mengambil masa selama 2 jam kurasa begitu lama. Namun kami terpaksa berhenti juga di hentian rehat Tapah kerana anak2ku merengek kelaparan. Maklum saja jam sudah menunjukkan pukul 2. Kebetulan pula terjumpa Liza dan suaminya Akib, juga dalam perjalanan pulang ke Ipoh. Akhirnya sampai juga kami ke Ipoh pukul 3 ptg. Di rumah Nyah telah ramai kelihatan jiran serta sanak saudara lelaki dan perempuan memenuhi ruang tamu dan ruang letak kereta. Kelihatan jasad Encik terbujur kaku di ruang tamu. Masuk saja aku langsung bersalaman dan memeluk Kak Yang, Eteh serta Nyah dan juga tetamu yg hadir. Beberapa orang wanita sibuk menyediakan kain kapan. Eteh juga menolong menjahit kain putih untuk dipakai kan kepada Encik nanti. Setelah semua nya tersedia, Encik dibawa keruang depan untuk dimandi kan di tempat yg tersedia. Setelah siap dimandikan, Encik dikapan rapi. Wanita yang mengetuai urusan fardhu kifayah ini mamanggil kesemua anak beranak serta cucu cicit yang terdekat untuk mengucup Encik buat kali terakhir sebelum beliau menutup keseluruhan muka Encik. Pipi Encik yang ku cium terasa sangat lembut dan sejuk, seakan tidak mahu ku lepaskan. Sedang kebanyakkan dari anak2 Encik serta cucu cicitnya telah sampai, namun Yop serta Kak Tun masih dalam perjalanan. Yop dari Kelantan serta kak tun dari Johor masih belum kelihatan saat kain kapan telah lengkap menyelimuti Encik.

Kemudian, jenazah disembahyang kan sebaik waktu menunjukkan hampir masuk waktu Asar. Setelah itu semua jemaah menuju ke surau berdekatan untuk menunaikan sembahyang Asar. Selesai sahaja solat asar orang2 lelaki hadir semula ke kawasan rumah. Sebelum jenazah diangkat menaiki van jenazah, Abang Nyah selaku ketua rumah memaklumkan ucapan terima kasih atas semua yang hadir dan membantu serta memohon maaf jika ada kesalahan yang dilakukan oleh Encik terhadap sesiapa yang berkenaan. Abang Nyah juga memaklumkan jika ada Encik berhutang dgn sesiapa utk menuntut kepada kami waris yang tinggal. Setelah sedia semuanya, pemandu van jenazah meminta izin kepada kami, waris yang tinggal untuk membawa jenazah ke tanah perkuburan. Eteh, Diah (pembantu yg menjaga Encik) serta aku, naik bersama mengiringi jenazah Encik.

Sampai sahaja ke tanah perkuburan, liang lahad sudah tersedia. Hati ku semakin sayu, saat Encik untuk disemadikan semakin hampir. Namun bayang Yop dan kak tun masih belum kelihatan. Para petugas dikuburan sudah bersedia untuk meletakkan Encik di liang lahad. Aku cuba mengintai untuk melihat wajah Encik yang sedia dihadapkan ke arah kiblat untuk kali terakhir. Sebelum papan diletak, ustaz yang bertanggungjawab menyempurnakan urusan perkebumian bertanya lagi samada masih hendak menunggu ahli keluarga yang belum sampai. Setelah berbincang dan atas dasar untuk tidak menusahkan sesiapa, Abang Nyah memberi kata putus agar urusan perkebumian dilaksanakan. Ketika ustaz membaca talkin dan menyebut nama Encik, air mata ku seakan tidak dapat ditahan2lagi. Pemergian Encik dirhedoi dan rasa keinsafan menebal dalam diri ini. Janji Allah adalah benar. Setiap yang bernyawa pasti menemui ajalnya.

Tidak lama selepas itu, terlihat Yop, Yong, Kak Tun, Abang Harun serta Sukri sampai. Aku memeluk kak tun erat.
Hanya doa kami dari anak2 mu Encik yang mengiringi pemergian mu menemui Ilahi. Semoga Encik aman disana.....insyallah.......
 

Designed by Simply Fabulous Blogger Templates